Lompat ke konten Lompat ke sidebar Lompat ke footer

"Pengantin bersanding atas ‘stretcher’ temui ajal selepas sebulan kahwin, isteri reda ujian Allah...",-


[V] Pengantin bersanding atas ‘stretcher’ temui ajal selepas sebulan kahwin, isteri reda ujian Allah - “Rest elok-elok ya, tunggu I dekat sana”
KISAH pasangan pengantin yang berkahwin walaupun si suami terlantar sakit di atas pelamin pernah mencuri tumpuan ramai pada November lalu.
Namun tidak sampai sebulan melayari bahtera perkahwinan, wanita bernama Siti Marha Azuar berdepan ujian apabila suami, Mohd Hashmi Arifin meninggal dunia akibat barah otot (Leiomyosarcoma) tahap empat pada Rabu.
Berita sedih pemergian arwah dikongsikan Siti Marha di TikTok pada pagi Khamis.
"Mohon doakan suami saya, Mohd Hashmi Arifin," tulisnya ringkas pada kapsyen video berkenaan tanpa menyatakan waktu pemergian suaminya.
Dalam video berdurasi 28 saat yang dikongsikan itu, beberapa individu lelaki dilihat keluar daripada rumah sambil mengusung keranda yang kemudiannya dimasukkan ke dalam van jenazah.
Allahyarham Mohd Hashmi dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Kapar, Klang, Selangor.
"Tiada lagi kata-kata cinta dapat saya dengar daripada awak sayang... rest elok-elok ya, tunggu I dekat sana," kata Siti Marha pada posting terbaharu bagi berkongsi tentang pengebumian arwah suaminya.
Arwah meninggal dunia tujuh hari selepas menyambut hari ulang tahun kelahiran yang ke-36 pada 1 Disember lalu.
Untuk rekod Siti Marha dan Mohd Hashmi berkahwin pada 12 November lalu.
Berdasarkan video yang dikongsikan sebelum ini, Mohd Hashmi hanya terlantar di atas pelamin pada majlis perkahwinannya di Iman Iris Grand Hall, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
Rata-rata netizen turut bersedih dan bersimpati dengan ujian yang menimpa Siti Marha.
Selain menitipkan doa, mereka turut meninggalkan pesanan agar wanita ini terus tabah menjalani dugaan besar atas kehilangan suaminya.