Senarai Penuh Timbalan Menteri Yg Dilantik, Ramai Terkejut Nama ‘Dia’ Ada Juga

KUALA LUMPUR: Seramai 15 muka baharu diumumkan dalam senarai timbalan menteri yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam ini.

               

    

Ahli Parlimen Sarikei, Datuk Huang Tiong Sii, daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dilantik Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Naib Presiden PKR, Saraswathy Kandasamy, yang akan mengangkat sumpah sebagai senator dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Ahli Parlimen Batu Sapi, Khairul Firdaus Akbar Khas menjadi satu-satunya wakil Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam senarai timbalan menteri, dilantik Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.

Adik Pengerusi DAP, Lim Guan Eng iaitu Lim Hui Ying, yang juga Ahli Parlimen Tanjong dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan, manakala Ahli Parlimen Sepanggar, Mustapha @ Mohd Yunus Sakmud daripada PKR dilantik sebagai Timbalan Menteri Sumber Manusia.

Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni, dilantik sebagai Timbalan Menteri Kesihatan dan Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Kumbong, yang juga ahli veteran GPS, dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebentar tadi mengumumkan senarai penuh nama Timbalan Menteri di 27 Kementerian Kerajaan Perpaduan pimpinannya.

Antara yang dilantik mengisi salah satu jawatan tersebut adalah Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Haji Ahmad bin Maslan yang ditugaskan sebagai Timbalan Menteri Kewangan.

Selepas pengumuman itu dibuat, beliau melalui satu ciapan yang dimuat naik di laman Twitternya sebentar tadi mengucapkan jutaan terima kasih di atas pelantikannya dalam kabinet Kerajaan Perpaduan.

Ucapan terima kasih itu ditujukan kepada Perdana Menteri dan juga kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi.

”Saya akan berikan khidmat yang terbaik, gigih bekerja demi rakyat & negara dengan berpegang kepada prinsip-prinsip yang mulia,” katanya.

Terdahulu, PM mengumumkan bahawa Kementerian Kewangan akan memiliki dua Timbalan Menteri dengan seorang lagi yang dilantik adalah Ahli Parlimen Bukit Mertajam, YB Steven Sim Chee Keong.

Kementerian Kewangan diketuai oleh Perdana Menteri sendiri sebagai Menteri.

Sumber BH